Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan pingat-pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam pada majlis pengurniaan bagi hari kedua kepada seramai 487 orang penerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78 Tahun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah berkenan mengurniakan pingat-pingat berkenaan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, pagi tadi.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Pada majlis pengurniaan pingat berkenaan, para penerima PIKB terdiri daripada 171 penerima dari Kementerian Kesihatan; 69 penerima dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; 55 penerima dari Kementerian Pembangunan; 147 penerima dari Kementerian Pendidikan; 28 penerima dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan 17 penerima dari sektor swasta.
Istiadat pengurniaan pingat turut diberkati dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis turut dihadiri oleh pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, duta-duta besar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.