Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan COVID-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 321 orang.
Sementara itu, tiada kes juga dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah kes yang sembuh kekal seramai 269 orang dengan sebanyak 49 kes aktif sedang dirawat.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 445 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 180 kes.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, seramai 723 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan seramai 22,361 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020. Bagi status vaksinasi COVID-19, Kementerian Kesihatan mengongsikan bahawa seramai 3,489 orang menerima vaksinasi pada 24 Julai dan secara keseluruhannya seramai 145,503 orang telah divaksin sejak program vaksinasi dilaksanakan pada 3 April lalu dengan seramai 23,274 orang telah menerima dua dos lengkap manakala mereka yang menerima dos pertama setakat 24 Julai jam 5 petang ialah seramai 122,229 orang.
Daerah Brunei dan Muara mencatatkan angka tertinggi penerima vaksin iaitu seramai 76,792 bagi dos pertama dan 17,127 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 16,019 bagi dos pertama dan 2,820 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 18,532 bagi dos pertama dan 2,443 bagi dos kedua serta Daerah Temburong berjumlah 10,886 bagi dos pertama dan 884 bagi dos kedua. Dengan pemvaksinan itu, sejumlah 26.9 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala sejumlah 5.1 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin.
Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 20,674 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 382 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 150,435 ujian.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.