Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Murid-murid yang memerlukan Sekolah Chung Hwa Kiudang (CHSK) terus mendapat perhatian dan bantuan dengan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam menyampaikan sumbangan cek berjumlah RMB 30,000 berserta bantuan berupa keperluan asasi bagi murid-murid beragama Islam dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini.
Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekolah.
Pada majlis berkenaan, TYT Xiao Jianguo menyatakan bahawa sumbangan itu bertujuan untuk penambahbaikan dan kemajuan kepada sekolah serta sempena meraikan bulan Ramadan.
Majlis menyaksikan seramai 49 orang murid sekolah menerima sumbangan daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.