BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei 2003 – Seramai 49 orang ditangkap oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam satu operasi besar-besaran yang dilancarkan awal pagi sehingga tengah malam semalam.
Operasi yang dinamakan Operasi Bersih itu tertumpu pada 32 kediaman dan kawasan yang dipercayai sebagai sarang perkumpulan penagih-penagih dadah.
Dalam persidangan akhbarnya, penolong pengarah Cawangan Risikan BKN, Haji Ahmad Metassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 42 orang lelaki dan tujuh perempuan yang kebanyakannya warga tempatan.
Operasi yang dilancarkan di daerah Brunei Muara, Belait dan Tutong itu membabitkan 90 orang anggota BKN yang dibahagikan kepada 12 pasukan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, empat orang ditahan untuk siasatan di bawah kesalahan mengedar dadah manakala 42 orang ditahan atas kesalahan memakan dadah.
Tiga orang lagi dibebaskan setelah ujian contoh air kencing mereka menunjukkan tidak mengandungi kesan dadah terkawal.
“Kebanyakkan penagih yang ditangkap dalam operasi ini adalah orang yang sudah pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman sebelumnya,” jelasnya.
Bagaimanapun penangkapan sejumlah besar penagih dadah itu dapat mengurangkan bekalan dan permintaan dadah di negara ini.
Operasi itu mengingatkan kepada pengedar dan penagih dadah bahawa kegiatan mereka sentiasa dipantau dan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
Dari bulan Januari hingga 29 April tahun ini, BKN menangkap 226 orang yang terlibat dengan kegiatan dadah berbanding 293 orang pada tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau turut menekankan perihal pentingnya pemimpin masyarakat lebih peka terhadap kegiatan anak buah kampung masing-masing bagi membebaskan negara ini daripada ancaman dadah.
Kebanyakkan dadah yang dirampas adalah dadah syabu serta sejumlah kecil kodein, sejumlah wang tunai dan barang-barang lain turut dirampas yang dipercayai hasil pengedaran dadah.