Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 MAC – Seramai 49 pelajar bersama enam guru Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohammad Yusof baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Seria sebagai sebahagian daripada Program Kenali Perpustakaan DBP.
Mengetuai program tersebut ialah Pembantu Perpustakaan Tingkat I, Awang Adylah bin Kalid yang sekali gus menyampaikan taklimat ringkas tentang peranan penting perpustakaan, bukan sahaja sebagai pusat ilmu tetapi juga sebagai pusat aktiviti.
Dalam lawatan tersebut, para pelajar telah meneroka dan mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai kemudahan dan aktiviti yang diadakan di perpustakaan.
Di samping itu, sesi membaca selama 10 minit, serta permainan dan aktiviti yang menyeronokkan turut diadakan semasa lawatan itu.
Para pelajar turut menerima hadiah dan cenderahati sebagai kenangan penyertaan mereka dalam program berkenaan.