Wednesday, November 27, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    49 terima sijil penghargaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meraikan kejayaan pembaharuan pensijilan ISO 9001:2015 bagi Sistem Pengurusan Kualiti dengan mengadakan majlis penghargaan di Bangunan PGGMB di ibu negara, baru-baru ini.

    Acara berkenaan bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan tidak ternilai semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh tadbir urus korporat, menggalakkan penambahbaikan berterusan, dan menyampaikan komitmen BIBD untuk perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri telah menyampaikan sijil dan tanda penghargaan kepada 49 penerima termasuk wakil dari 15 cawangan BIBD.

    Para penerima berkenaan merupakan individu yang menunjukkan komitmen dan dedikasi yang luar biasa terhadap perjalanan pensijilan ISO.

    Individu-individu berkenaan memainkan peranan penting dalam melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan, mematuhi proses pengurusan kualiti, dan menegakkan nilai teras BIBD iaitu integriti, tumpuan pelanggan, perpaduan tujuan dan kecemerlangan.

    Awang Junaidi bergambar ramai bersama penerima sijil pada majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB di ibu negara, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

    Majlis tersebut merupakan bukti komitmen BIBD yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan dedikasinya untuk mengekalkan standard kualiti tertinggi dalam operasinya.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan berkata, “Pensijilan ISO 9001:2015 memperkasakan kami untuk membina infrastruktur kukuh yang menjamin perkhidmatan konsisten dan penyampaian proses utama yang sistematik.

    “Ia memupuk kewaspadaan dalam mengenal pasti dan mengurus risiko yang berkaitan dengan perubahan, memastikan kawalan yang berkesan. Selain itu, ia memperjuangkan kitaran Plan-Do-Check-Act, alat penting untuk penambahbaikan berterusan, membolehkan BIBD melepasi batasan kami dan secara konsisten menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami yang dihargai,” ujarnya.

    Awang Junaidi pula merakamkan penghargaan kepada kakitangan berdedikasi dan pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting dalam mendapatkan pembaharuan pensijilan ISO.

    Beliau berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan usaha dan komitmen kolektif ke arah memperkukuh tadbir urus korporat dan meningkatkan perkhidmatan secara berterusan.

    Ia adalah hasil kerja keras, dedikasi dan kerjasama pasukan merentas semua peringkat organisasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda