49 wartawan dibunuh di seluruh dunia

PARIS, 17 DIS – Seramai 49 wartawan dibunuh di seluruh dunia tahun ini, menurut Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) hari ini, angka kematian terendah dalam tempoh 16 tahun.

Angka paling rendah dalam sejarah itu kebanyakannya disebabkan liputan berita konflik di Yaman, Syria dan Afghanistan, kata pemerhati yang berpusat di Paris, yang juga memberi amaran bahawa ‘kewartawanan tetap menjadi profesion berbahaya’.

Kira-kira 80 orang wartawan kehilangan nyawa secara purata selama dua dekad yang lalu, kata pertubuhan itu, yang dikenali dengan nama ringkas RSF.

Tetapi ketua mereka Christophe Deloire memberi amaran, jumlah wartawan yang dibunuh di negara-negara yang kononnya aman masih tinggi dengan 10 kematian di Mexico sahaja.

“Amerika Latin, dengan jumlah 14 wartawan terbunuh di seluruh benua, sama teruknya seperti kematian di Timur Tengah,” dia menambah. Walaupun katanya, jumlah kematian menurun di zon konflik adalah sesuatu yang diraikan, tetapi “semakin banyak wartawan yang dibunuh ketika mereka bekerja di negara demokratik, yang merupakan cabaran sebenar kepada demokrasi.” – AFP