Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    49,082 hantaran palsu berjaya ditumpaskan – Teo

    KUCHING, 18 OGOS – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan 49,082 hantaran berkaitan penipuan setakat 1 Ogos ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

    Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 63,652 hantaran diturunkan berbanding 6,297 pada 2023, menunjukkan peningkatan mendadak dalam penyebaran kandungan penipuan secara dalam talian.

    “Penularan kandungan penipuan, termasuk akaun palsu dan penyamaran tokoh awam, dilihat meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Sarawak), hari ini.

    Teo berkata semua pihak tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti arus teknologi yang berkembang pesat, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).

    Meskipun AI mampu mempermudah pelbagai urusan dan tugasan harian, beliau berkata ia tidak dapat menggantikan nilai penting seperti usaha, dedikasi dan kecemerlangan yang menjadi teras kepada perkhidmatan awam.

    “Yang penting, penggunaan teknologi mestilah dilakukan dengan bijak, berhemah dan terkawal supaya benar-benar memberi manfaat tanpa menjejaskan integriti dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam,” katanya.

    Pendekatan beretika dan seimbang dalam penerapan AI akan memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara optimum dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

    Justeru, bagi menangani penipuan atau penyebaran berita palsu, beliau berkata kementerian menyediakan pelbagai alat semakan fakta seperti Biar Betul di RTM, Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) dan portal Sebenarnya.my. – Bernama

    Teo Nie Ching bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda