Tuesday, March 11, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    498 anak yatim di Belait terima bantuan

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 10 MAC – Seramai 498 anak yatim di Daerah Belait menerima sumbangan derma daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan, Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait dan Bank Islam Brunei Darussalam pada majlis yang diadakan hari ini di Pusat Insani, Seria.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu sekali gus menyempurnakan penyerahan sumbangan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Turut hadir ialah penghulu mukim, ketua kampung, pegawai kanan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), agensi kerajaan, serta wakil kumpulan dan persatuan di Daerah Belait.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Pekan Seria, Awang Mohammad Nawawi bin Bakhari.

    Pada majlis tersebut, BSP tidak ketinggalan menyerahkan sumbangan derma yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan BSP, Johan Atema; dan Pengarah Sumber Manusia BSP, Dayang Erwienna Shafienaz binti Abu Bakar.

    Manakala Syarikat Suasana Menteri Engineering Services yang diwakili oleh Pengurus Besar, Awang Yusof bin Haji Othman turut sama menyerahkan sumbangan derma kepada anak-anak yatim tersebut.

    Sementara itu, beberapa wakil antaranya Persatuan Tiong Hua Daerah Belait, Sullivans (B) Sdn Bhd, Asia Enterprise, Pustaka Remaja Sdn Bhd, Kedai Buku Syarikat Teras Maju Sdn Bhd, Persatuan Komuniti Tai Poo Brunei, dan Persatuan Hainan secara kolektif menyerahkan $5,800 kepada tabung anak yatim yang diterima oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait.

    Jawatankuasa Eksekutif Tabung Anak Yatim Daerah Belait berharap dana yang diagihkan itu dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan derma kepada tabung berkenaan atau memperoleh maklumat lanjut boleh berbuat demikian dengan menghubungi mereka di talian 3334335 sambungan 1195.

    Haji Amirol Hafidzin dan Johan Atema semasa menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pemangku Pegawai Daerah Belait menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa majlis itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara anak yatim dari seluruh Daerah Belait semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda