Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    4U2C terima maaf Ajai, anjur doa selamat untuk konsert

    Kumpulan 4U2C menzahirkan penghargaan kepada komposer, Ajai selepas dia secara terbuka memohon maaf dan menjernihkan salah faham berkaitan isu hak cipta lagu yang tular sebelum ini.

    Menurut ketua kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, mereka hanya ingin meleraikan kekeliruan agar masyarakat memahami situasi sebenar daripada sudut perundangan.

    “Kami tidak pernah berniat untuk bergaduh. Lagipun, dua lagu ciptaan Ajai akan dinyanyikan dalam konsert kami nanti.

    “Jadi, bila Ajai tampil memohon maaf, kami berterima kasih dan langsung tidak menyimpan sebarang rasa.

     “Kami hanya mahu menjelaskan perkara sebenar kepada umum. Ramai yang mendoakan perkara tidak baik dan timbul pelbagai fitnah serta salah faham. Jadi apabila Ajai mengambil langkah tersebut (memohon maaf) kami amat menghargainya,” katanya kepada mStar.

    AC berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis doa selamat kumpulan 4U2C di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor pada malam Jumaat.

    Bercakap tentang majlis itu, AC atau Mizal Zaini, 54, menjelaskan ia diadakan bagi memohon keberkatan agar segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT menjelang hari konsert.

    “Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk berehat seketika daripada jadual latihan yang padat bagi menghadiri majlis doa selamat ini.

    “Kami bukan lagi anak muda, masing-masing sudah berkeluarga. Jadi majlis seperti ini penting untuk memohon pertolongan dan keberkatan daripada Allah,” jelasnya.

    Sementara itu, AC turut meluahkan rasa syukur apabila jualan tiket konsert We 4U2C menunjukkan perkembangan positif, khususnya selepas pengumuman penglibatan kumpulan Res2 dan A2Z sebagai artis jemputan.

    “Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan di luar jangkaan kami.

    “Penambahan artis jemputan nampaknya memberi impak positif kepada jualan tiket,” ujarnya. – Agensi

    4U2C harap konsert berjalan lancar. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda