BOGOTA, 28 Feb – Sekurang-kurangnya lima anggota tentera Colombia terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam satu serangan pada awal pagi kelmarin oleh kumpulan gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) di bandar Tibu yang terletak di utara Colombia, lapor agensi berita China Xinhua.
Pihak tentera berkata kesemua mangsa telah diserang dengan bahan letupan pada kira-kira 1 pagi ketika mereka mengatur kedudukan taktikal di sepanjang jalan antara Tibu dan Salazar de las Palmas.
Pada Isnin, ELN telah mengumumkan bahawa ia akan mengadakan gencatan senjata semasa pilihan raya legislatif pada 11 Mac dan menggesa Presiden Juan Manuel Santos kembali ke meja rundingan damai. Santos telah mengutuk serangan itu, yang berlaku di wilayah Norte de Santander, menerusi akaun Twitter.
Pada 29 Januari, Santos menangguhkan rundingan damai selepas ELN melakukan beberapa serangan maut ke atas anggota polis di utara Colombia.
Menteri Dalam Negeri, Guillermo Rivera pula berkata rundingan itu tidak akan disambung semula memandangkan ELN terus melakukan keganasan. – Bernama