ANKARA, 7 JULAI – Lima anggota tentera Turkiye maut selepas terhidu gas metana ketika menjalankan operasi pencarian di sebuah gua di utara Iraq, menurut Kementerian Pertahanan Turkiye kelmarin, lapor Xinhua.
Insiden itu berlaku semasa operasi pencarian dan pembersihan yang sedang berlangsung di zon Operasi Claw-Lock Turkiye di utara Iraq, iaitu semasa tentera Turkiye menjalankan operasi terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, gua berkenaan, yang sebelum ini digunakan sebagai hospital oleh PKK dan kemudian dibersihkan oleh tentera Turkiye, sedang diperiksa bagi mencari mayat seorang leftenan pertama yang terbunuh pada 2022.
Seramai 19 anggota tentera telah terhidu gas metana di dalam gua itu dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan, namun lima daripada mereka meninggal dunia meskipun menerima rawatan perubatan.
Pada 2022, Turkiye telah melancarkan Operasi Claw-Lock untuk menyasarkan lokasi persembunyian PKK di wilayah Metina, Zap dan Avasin-Basyan di utara Iraq berhampiran sempadan Turkiye.
PKK, yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, telah menentang kerajaan Turkiye selama lebih empat dekad.
Pada Mei lalu, PKK mengumumkan keputusannya untuk dibubarkan dan menamatkan pemberontakan bersenjata mereka. – Bernama
