Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Bank Baiduri telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pusingan kedua dalam Promosi ‘Dreaming of Your Next Holiday Destination?’ yang berlangsung hari ini di Atrium, Ibu Pejabat Bank Baiduri.
Pada majlis penyampaian hadiah tersebut tempat pertama dimenangi oleh Dato Paduka Haji Mohd Aziyan bin Abdullah yang membawa pulang hadiah berupa keahlian Royal Skies Silver. Sementara itu di tempat kedua dimenangi oleh Tsai Ah Moi yang berjaya mendapatkan 100,000 Royal Skies Miles. Manakala Sim Siew Nee dan Lau Sie Chuong diumumkan sebagai pemenang di tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang hadiah berupa 50,000 Royal Skies Miles.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Perniagaan Kad Bank Baiduri, Davern Lim dan Pengurus Loyalty, Penerbangan Diraja Brunei (RB), April Galera Chu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Bank Baiduri atas peluang yang diberikan bagi memenangi hadiah dari promosi kali ini dan saya merasakan kad RB menambah nilai yang baik untuk berbelanja serta pada masa yang sama untuk mendapatkan Royal Skies Miles. Ia jelas sekali merupakan tawaran yang baik!” jelas Dato Paduka Haji Mohd Aziyan.
Pemenang di tempat kelima hingga ketujuh pula masing-masing menerima hadiah berupa 25,000 Royal Skies Miles.
RB Visa Cards adalah kad pembayaran co-branded dan kad perjalanan pertama di Brunei yang dilengkapi dengan teknologi pembayaran tanpa sentuhan terkini dengan faedah dan keistimewaan yang tiada tandingannya serta mudah untuk mendapatkan Royal Skies Miles.
Bertepatan dengan pelancaran kad debit dan kad kredit Visa RB yang bermula pada pertengahan Oktober 2020 hingga hujung Januari 2021, semua pemegang Kad Visa RB secara automatik akan berpeluang memperoleh satu cabutan bertuah untuk memenangi hadiah 100,000 miles dan keahlian Royal Skies Silver apabila mereka mengumpulkan dan membuat pembayaran pertama dengan kad mereka. Selain itu, pelanggan akan mendapat peluang tambahan bagi setiap pembelian yang ditetapkan jika menggunakan kad tersebut.
Pemegang kad tersebut akan memperoleh ‘miles’ dengan harga yang menarik melalui perbelanjaan harian, di samping dua kali ganda lebih banyak apabila mereka menggunakan kad itu di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan RB atau dalam talian.

