Wednesday, July 3, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    5 bom disembunyi di masjid Al-Nuri

    MOSUL, 30 JUN – Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) berkata ia telah menemui lima bom tersembunyi dalam dinding masjid Al-Nuri yang ikonik di Mosul, yang ditanam beberapa tahun lalu oleh kumpulan Islamic State (IS), semasa kerja-kerja pemulihan di bandar utara Iraq.

    Lima ‘alat letupan berskala besar, direka untuk mencetuskan kemusnahan besar-besaran tapak itu’, ditemui di dalam dinding dewan solat pada Selasa lalu oleh pasukan UNESCO yang bekerja di tapak itu, kata wakil agensi itu kepada AFP lewat Jumaat.

    Masjid Al-Nuri di Mosul dan menara condong bersebelahan yang digelar Al-Hadba atau ‘bongkok’, yang dibina pada abad ke-12, telah musnah semasa pertempuran untuk merampas semula bandar itu daripada IS.

    Tentera Iraq menuduh IS, yang menduduki Mosul selama tiga tahun, menanam bahan letupan di tapak tersebut dan meletupkannya.

    UNESCO, agensi kebudayaan PBB, telah berusaha untuk memulihkan masjid dan tapak warisan seni bina lain di bandar itu, sebahagian besarnya telah runtuh dalam pertempuran untuk merampasnya semula pada 2017.

    Penduduk Iraq yang melarikan diri berjalan melepasi masjid Al-Nuri yang rosak teruk semasa tentera Iraq meneruskan perang menentang kumpulan IS di Kota Lama Mosul di Iraq. – AP

    “Angkatan bersenjata Iraq segera menawan semula kawasan itu dan keadaan kini terkawal sepenuhnya,” tambah UNESCO.

    Sebutir bom telah dikeluarkan, tetapi empat lagi peranti seberat 1.5 kilogram ‘masih bersambung antara satu sama lain’ dan dijangka dilupuskan dalam beberapa hari akan datang, katanya.

    “Alat letupan ini disembunyikan di dalam dinding, yang dibina semula di sekelilingnya, ia menjelaskan mengapa ia tidak dapat ditemui apabila tapak itu dikosongkan oleh tentera Iraq pada 2020,” kata agensi itu.

    Jeneral Iraq, Tahseen al-Khafaji, jurucakap Pusat Operasi Bersama pelbagai pasukan Iraq, mengesahkan penemuan ‘beberapa alat letupan daripada pejuang ISIS di masjid Al-Nuri’.

    Beliau berkata skuad bom wilayah meminta bantuan daripada Kementerian Pertahanan di Baghdad untuk mematikan amunisi yang tinggal disebabkan ciri-ciri ‘pembuatan kompleks’ alat tersebut.

    Kerja-kerja pembinaan telah digantung di tapak itu sehingga semua bom dikeluarkan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan, Iran pulang ke tanah air

    KABUL, 2 JULAI – Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan dan Iran telah pulang ke negara asal mereka sejak sebulan lalu, menurut Kementerian Pelarian...