Saturday, April 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 buah masjid bakal dibangunkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menerusi Institusi Zakat, Wakaf dan Amalan Sedekah telah dan sedang menyumbang dengan baik ke arah mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara.

    Contohnya, zakat yang dikutip dan dikumpulkan setiap tahun diagihkan kepada asnafnya iaitu orang-orang yang berhak bagi diuntukkan agihan zakat kepadanya yang terdiri daripada fakir miskin dan mualaf.

    “Mereka mendapat agihan menampung belanja hidup mereka di samping belanja anak-anak mereka yang bersekolah, ada yang mengikuti latihan-latihan kemahiran dan yang penting juga ialah di antara fakir miskin dan mualaf ini dibangunkan rumah kediaman sendiri atau juga disewakan rumah.”

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata sedemikian dalam usul menjunjung kasih pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-17 di Dewan Persidangan MMN, di sini, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, untuk menampung agihan kepada asnaf fakir miskin dan mualaf yang berjumlah hampir 4,000 keluarga dengan lebih 15,000 orang, lebih $20 juta telah diperuntukkan setiap tahun.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika mengutarakan perbincangan pada Persidangan MMN ke-17 hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

     

    Selain itu, menurutnya lagi, ada antara golongan yang berhutang disebut Al-Gharimin yang layak untuk menerima agihan telah dibayarkan hutang sama ada hutang yang tertunggak ataupun dalam keadaan-keadaan tertentu dilangsaikan kesemua hutangnya termasuklah hutang perumahan negara, bekalan elektrik, air dan juga hutang kenderaan kepada institusi kewangan.

    “Inilah sebahagian contoh yang juga menyumbang kepada memelihara kebajikan rakyat terutama kalangan yang memerlukan kebajikan mereka dikelingai oleh negara dengan peruntukan kerajaan yang lazimnya di bawah Skim Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS),” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Dalam pembinaan masjid pula, Yang Berhormat Pahin mengongsikan bahawa setakat ini dua buah masjid telah dibangunkan dan beberapa buah masjid dibaiki. Manakala itu, sumbangan kepada fiskal kerajaan setakat ini dalam hal ehwal masjid melebihi $8 juta dan pada masa ini terdapat dana yang terkumpul sejumlah lebih $15 juta.

    “Jumlah tersebut berserta dengan unjuran jumlah kutipan tiga tahun ke hadapan insya-Allah sudah dirancangkan untuk tempoh lima tahun akan membangun lima buah masjid,” kongsi beliau.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada penyumbang-penyumbang zakat dan penderma-penderma kerana merekalah yang telah menyumbang bagi mengukuhkan kedayatahanan hasil fiskal negara.

    “Demikian itu sebahagian aspek perkhidmatan agama menyumbang sekali gus menampung untuk mengukuhkan fiskal negara, membangun masjid dengan sumbangan derma, sedekah orang ramai termasuk penjawat awam dan anggota-anggota pasukan polis dan angkatan bersenjata,” ujarnya.

    Beliau seterunya menjelaskan bahawa Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah memutuskan untuk membangun lima buah masjid yang sekarang ini sedang dalam penyediaan secara bertahap dengan kolaborasi bersama KHEU dan Kementerian Pembangunan.

    Jabatan tersebut juga akan mengendalikan hal ehwal wakaf MUIB yang pada masa ini memiliki ratusan ekar tanah yang boleh dimajukan dan apa yang disebutkan sebagai Baitul Mal yang juga akan mengurus harta terkumpul MUIB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda