Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 daripada tujuh warga asing keracunan alkohol dibenarkan keluar hospital

    SUVA, 16 DIS – Doktor di Fiji telah memutuskan untuk membenarkan lima daripada tujuh pesakit, termasuk empat rakyat Australia dan seorang warga Amerika Syarikat, keluar dari hospital selepas menerima rawatan kerana mengalami gejala serius akibat meminum pina colada di sebuah bar hotel mewah, menurut kenyataan kerajaan hari ini.

    “Ketujuh-tujuh pesakit itu dimasukkan ke hospital pada Sabtu malam selepas mengalami mual, muntah dan simptom neurologi”, menurut Kementerian Kesihatan Fiji.

    Mereka jatuh sakit selepas meminum koktel pina colada yang disediakan di sebuah bar di pusat peranginan Warwick Fiji bertaraf lima bintang di Coral Coast, kira-kira 70 kilometer dari ibu kota Suva, kata pegawai.

    Jurucakap Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa tujuh individu berumur antara 18 hingga 56 tahun itu terdiri daripada empat rakyat Australia, seorang warga Amerika dan dua individu lain yang kewarganegaraannya tidak didedahkan.

    Seorang daripada pesakit telah dibenarkan keluar semalam dari Hospital Sigatoka yang terletak berhampiran hotel tersebut, kata Menteri Pelancongan Fiji, Viliame Gavoka.

    Enam yang lain dipindahkan ke Hospital Lautoka yang lebih besar di pantai barat pulau itu. Dua daripada mereka telah dibenarkan keluar pada pagi ini, dan dua lagi dijangka dibenarkan pulang pada sebelah petang.

    Dua pesakit yang masih berada di Hospital Lautoka kini berada dalam keadaan ‘stabil’ di unit rawatan rapi, kata Gavoka dalam sidang media.

    Kementerian Kesihatan Fiji dan pihak polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut, dengan Gavoka menambah bahawa keputusan ujian toksikologi yang ‘kritikal’ biasanya mengambil masa tiga hingga empat hari untuk diperoleh.

    “Semua orang masih terkejut bahawa kejadian ini boleh berlaku,” katanya. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda