Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 hala tuju baharu SENIMAN

    Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggariskan lima hala tuju baharu yang sudah disahkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Agung untuk mendepani 2024 sehingga 2025.

    Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata antara diharapkan adalah persatuan mampu menjadi rujukan kepada bakat seni dalam negara termasuk mengadakan pelbagai program latihan meningkatkan kualiti.

    “Hala tuju ini diwujudkan bagi mencapai objektif seperti memelihara kesejahteraan dan kebajikan ahli SENIMAN, termasuk komitmen persatuan menerusi sinergi industri bersama kementerian, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Pengumpulan, penilaian, analisis dan penyaluran data induk berkaitan industri kreatif negara termasuk pengiktirafan ahli SENIMAN daripada bidang kandungan kreatif dan meningkatkan kemahiran.

    “Selain itu, kami memfokuskan polisi, dasar dan mendigitalisasi SENIMAN dalam industri kreatif negara,” katanya kepada BH Online.

    Pada masa sama, Zed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berkata, antara perkara perlu ditekankan kerajaan adalah aspek kebajikan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri seni kreatif Malaysia.

    “Aspek kebajikan ini perlu dilihat secara holistik. Apabila ditekankan dana kepada persatuan seni, secara tidak langsung ia dapat diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan persatuan kerana mereka adalah akar umbi dalam industri.

    “Selain itu, peluang pekerjaan juga perlu dipandang serius dalam industri ini. Apabila penggiat seni ada kerja, aspek kebajikan akan berkurangan sebab tiada isu kesusahan.

    “Sekiranya sakit pun mereka boleh tampung kos kerana sudah ada pendapatan. Ini semua soal pekerjaan, jadi kami mohon kepada kerajaan untuk berikan lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri ini,” katanya. – Agensi

    Zed berkongsi SENIMAN memfokuskan polisi, dasar dan mendigitalisasi dalam industri kreatif Malaysia. – Kosmo Digital
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda