Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    5% hilang deria bau, rasa kekal

    PARIS, 28 JULAI – Mengikut kajian hari ini, sekitar lima peratus orang yang menghidap COVID mengalami masalah berpanjangan dengan deria bau atau rasa, berpotensi menyumbang kepada beban long COVID.

    Hilang deria bau telah menjadi ciri dijangkiti koronavirus sejak awal pandemik, tetapi tidak jelas berapa kerap gejala seperti itu berlaku – atau berapa lama ia boleh bertahan.

    Untuk mengetahui perkara tersebut, para penyelidik telah menganalisis penemuan 18 kajian terdahulu yang melibatkan 3,700 pesakit.

    Dalam kajian baharu yang diterbitkan dalam BMJ, mereka mendapati enam bulan selepas dijangkiti virus itu, empat peratus pesakit belum lagi pulih deria bau mereka, manakala dua peratus deria rasa mereka belum pulih.

    Walau bagaimanapun, masih belum jelas gambaran itu membayangkan pemulihan penuh atau sebahagian.

    Para penyelidik menganggarkan kehilangan bau mungkin berterusan dalam 5.6 peratus pesakit, manakala 4.4 peratus mungkin deria rasa mereka tidak pulih sepenuhnya.

    Seorang wanita memberitahu penyelidik bahawa deria baunya tidak pulih lebih dua tahun selepas dijangkiti COVID.

    Para penyelidik berkata walaupun kebanyakan pesakit akan pulih deria bau dan rasa mereka dalam tempoh tiga bulan pertama selepas mendapat COVID, ‘sekumpulan besar pesakit mungkin mengalami disfungsi berpanjangan yang memerlukan rawatan lanjut jangka panjang dan identifikasi tepat pada masanya.

    Danny Altmann, pakar imunologi di Imperial College London yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu, berkata ia adalah ‘kajian kukuh dan penting’.

    “Kajian seperti ini menyedarkan kita tentang beban tersembunyi di luar sana bagi orang yang mengalami gejala berterusan, tetapi mungkin tidak fikir ia berbaloi untuk menghubungi GP dengan andaian tidak banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

    Penyelidikan juga mendapati wanita kurang berkemungkinan untuk pulih daripada deria ini berbanding lelaki.

    Punca perbezaan tidak jelas, tetapi para penyelidik menjangkakan wanita yang mulanya cenderung mempunyai deria bau dan rasa lebih baik, bermakna mereka akan mengalami keadaan yang lebih teruk.

    Data itu tidak termasuk varian COVID yang dijangkiti pesakit. Penyelidikan terdahulu menunjukkan varian Omicron yang terbaharu berkemungkinan mendorong kepada kehilangan bau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda