Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Lima kertas kerja daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah dinobatkan sebagai kertas kerja dan pembentang terbaik semasa World Islamic Social Science Congress 2021 (WISSC 2021) yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.
Persidangan anjuran kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Malaysia, Universitas Muhammadiyah Ponorogo Indonesia, Universitas Muhamadiyyah Jakarta Indonesia, dan STISIPOL Raja Haji Indonesia itu berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Disember lalu.
Menurut kenyataan UNISSA, lima kertas kerja utama telah dibentangkan pada persidangan itu termasuk yang dibentangkan oleh profesor di Fakulti Kewangan Islam, UNISSA, Profesor Dr Razali bin Mat Zain dengan tajuk Managing University-Life Stress Using Islamic Spritual Mechanism Involvement: A Case of Selected Muslim Students’ Well-being at UNISSA.
Persidangan turut menyaksikan penyampaian sebanyak 60 kertas kerja yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu antaranya sains sosial, pendidikan, teknologi maklumat, perkembangan bahasa dan sebagainya.
Daripada jumlah tersebut, 43 kertas kerja berkenaan telah disampaikan oleh para pembentang dari UNISSA.
Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dalam ucapan penghargaan pada majlis penutup persidangan berkenaan telah merakamkan ucapan terima kasih atas undangan UniSZA kepada UNISSA untuk bekerjasama dalam penganjuran seminar yang cukup berprestij tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa penglibatan tenaga akademik dan mahasiswa dan mahasiswi UNISSA dalam seminar berkenaan mencerminkan sokongan padu pihak UNISSA terhadap aktiviti keilmuan sekali gus bagi memanfaatkan penandatanganan memorandum persefahaman yang telah dimeterai sejak 20 Ogos 2019.