Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Lima orang pemenang bertuah pusingan kedua Kempen Investing in Your Tomorrow anjuran Bank Baiduri menerima hadiah mereka pada majlis yang berlangsung di Atrium, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, kempen itu adalah sebahagian daripada usaha Baiduri Capital bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya belajar bagaimana untuk melabur seperti cost averaging dan mempelbagaikan pelaburan mereka, selain memberikan ganjaran kepada klien mereka atas sokongan berterusan mereka sejak penubuhan Baiduri Capital, lima tahun dahulu.
Di majlis berkenaan, Lim Bing Hui, Sim Yen Ming, Teo Aun Ling, Wong Ley Hee dan Ten Soon Choi, masing-masing membawa pulang hadiah berupa baucar membeli-belah berjumlah $250 dengan hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengurus Jualan dan Pengurusan Pelaburan, Baiduri Capital, Yeo Kun Yu.
Kenyataan menerangkan bahawa promosi itu bermula pada November 2020 dan akan berjalan sehingga 31 Mac di mana setiap bulan semasa tempoh promosi, lima pelanggan yang layak akan dipilih secara rambang untuk memenangi baucar membeli-belah dan makan berjumlah $250 setiap satu.
Pemenang bulanan juga layak menyertai cabutan bulanan seterusnya jika mereka masih memenuhi kriteria pelaburan semasa tempoh promosi.
Kempen itu adalah dibukakan kepada pelanggan baharu dan sedia ada Baiduri Capital di mana bagi setiap $1,000 yang dilaburkan dalam securities termasuk saham dan Exchange Traded Funds (ETFs), bon dan unit trust sepanjang tempoh promosi, pelanggan berkenaan adalah layak bagi satu penyertaan untuk memenangi hadiah dalam cabutan bertuah atau cabutan utama.
