MANAGUA, 31 Mei – Sekurang-kurangnya lima orang terkorban semalam di Nicaragua dalam perhimpunan prokerajaan dan antikerajaan dalam pergolakan terbaharu yang telah menyebabkan berpuluh-puluh orang terkorban sejak bulan lalu, menurut kenyataan polis dan pembangkang.
Tatkala angka mereka yang maut telah mencapai kepada 92 orang, Presiden Daniel Ortega bersumpah untuk tetap berkuasa. “Nicaragua kepunyaan kita semua, dan di sini kita semua akan kekal,” kata Ortega dalam ucapannya kepada beribu-ribu penyokongnya.
Lebih 20 orang cedera dan dua kedai berita pembangkang diserang dalam kekacauan semalam. Di bandar Managua, orang yang memakai hud menembak senjata api dan mortar mereka ke arah anggota keluarga yang mengambil bahagian dalam perhimpunan prokerajaan, menyebabkan 12 orang cedera termasuk lima anggota polis, kata Timbalan Pengarah Polis Negara, Francisco Diaz.
Dua daripada 12 orang yang cedera merupakan ahli pemuda Parti Sandinista yang memerintah telah meninggal dunia selepas itu, katanya.

Selain itu, Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Nicaragua berkata dua orang lagi terkorban dan 12 yang lain cedera dalam pertempuran di bahagian utara Esteli.
Mangsa kelima terkorban apabila aktivis prokerajaan melancarkan serangan di Managua pada perhimpunan yang menyokong ibu-ibu yang telah kehilangan anak dalam pergolakan itu, kata pembangkang.
Protes pada mulanya dicetuskan oleh reformasi yang dibatalkan bagi sistem keselamatan sosial yang hampir muflis.
Tetapi pergolakan itu dengan cepat berkembang menjadi protes penyingkiran bagi Ortega dan isterinya serta naib presiden Rosario Murillo, yang dilihat sebagai autokratik oleh kebanyakan penduduk Nicaragua. – AFP