BEIJING, 28 MEI – Enam orang masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat diteruskan hari ini selepas letupan di sebuah kilang kimia di timur China kelmarin, yang menggegarkan bangunan berhampiran dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan 19 yang lain.
Letupan berlaku di taman perindustrian di bandar Weifang, wilayah Shandong, menyebabkan tingkap bangunan sekitar pecah dan kepulan asap tebal putih menjulang naik, menurut video di media sosial. Punca letupan belum diketahui.
Zhang Liyou, pemilik restoran kira-kira satu kilometer dari lokasi letupan, berkata ketika kejadian semasa makan tengah hari, tingkap restorannya pecah dan sebahagian siling runtuh, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Kilang itu milik Gaomi Youdao Chemical Co., pengeluar racun perosak dan bahan kimia perubatan dengan lebih 500 pekerja, menurut rekod korporat.
Lebih 230 anggota bomba dihantar ke lokasi, kata penyiar negara CCTV.

Seorang lagi pemilik restoran terletak tiga kilometer dari tempat kejadian merasakan gegaran seperti gempa kecil, menyebabkan rekahan pada tingkap berkaca, tetapi tiada kerosakan serius.
Seorang pelajar sekolah berdekatan melihat asap kuning kotor bercampur merah dari kilang dan terdapat bau pelik. Semua pelajar diberikan pelitup muka dan dilarang menanggalkannya.
Pasukan pemantau pencemaran dihantar ke lokasi oleh jabatan alam sekitar tempatan tetapi belum membuat laporan lanjut.
Insiden tersebut berlaku kurang dua minggu selepas Kementerian Kecemasan Nasional China mengadakan bengkel bagi mengawal risiko dalam industri kimia, dengan penekanan terhadap keupayaan pengurusan bahan kimia berbahaya.
Kilang kimia itu pernah disabitkan risiko keselamatan dua kali tahun lalu, tetapi dipuji pada September oleh biro pengurusan kecemasan Weifang kerana berjaya mengesan dan membetulkan lebih 800 bahan berisiko keselamatan dalam lapan bulan pertama 2024. – AP