BOGOTA, 27 JUN – Sekurang-kurangnya lima orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila pentas utama runtuh ketika pesta corraleja, atau laga lembu jantan sedang berlangsung di Tolima Colombia kelmarin, menurut pihak berkuasa tempatan.
Seekor lembu jantan turut menyerang beberapa mangsa yang terjatuh ke dalam gelanggang di Gilberto Charry Bullring, menurut laporan pegawai.
Sebilangan kanak-kanak turut dilaporkan hilang akibat kekecohan yang tercetus susulan peristiwa itu, lapor Xinhua.
Kebanyakan mereka yang cedera telah mendapat rawatan di Hospital San Rafael berdekatan. “Kami akan meminta siasatan dijalankan berhubung kejadian itu. (Kami berharap) mangsa yang cedera cepat sembuh dan menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban,” menurut ciapan Presiden Colombia, Ivan Duque dalam Twitter.
Bakal Presiden Gustavo Petro pula menggesa datuk bandar Colombia agar tidak membenarkan sebarang acara yang boleh menyebabkan kematian haiwan, termasuk laga lembu. – Bernama