Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 maut, ratusan terjejas akibat tanah runtuh dan banjir

    JAKARTA, 28 JAN – Lima maut dan beberapa lagi cedera akibat tanah runtuh dan banjir yang disebabkan hujan lebat di seluruh Indonesia, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) ketika negara itu memasuki minggu terakhir Januari.

    Menurut jurucakap BNPB, Abdul Muhari, pasukan tindak balas kecemasan telah dikerahkan ke kawasan terjejas untuk membantu masyarakat setempat serta meneruskan usaha mencari dan menyelamat.

    Pada 26 Januari, kejadian tanah runtuh di Mamuju, Sulawesi Barat mengakibatkan empat orang maut dan sekurang-kurangnya empat yang lain cedera selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh.

    Abdul Muhari memaklumkan bahawa operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca buruk dan keadaan rupa bumi berbahaya, yang meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh susulan.

    “Apabila keadaan bertambah baik, usaha diteruskan termasuk usaha untuk membersihkan jalan yang terhalang,” menurut jurucakap dalam satu kenyataan.

    Tanah runtuh berasingan di Tasikmalaya, Jawa Barat, pada hari yang sama, mengorbankan seorang penduduk, merosakkan sebuah rumah dan menyebabkan tiga rumah lain berisiko runtuh.

    Banjir teruk di daerah Tapin, Kalimantan Selatan pada 25 Januari turut menjejaskan 179 rumah dengan paras air antara lima hingga 20 sentimeter, namun air kini dilaporkan semakin surut.

    Pada 26 Januari, hujan lebat menyebabkan banjir di Bima, Nusa Tenggara Barat, yang menjejaskan 395 keluarga manakala di Pasuruan, Jawa Timur hujan lebat mengakibatkan 393 rumah dinaiki air antara 10 hingga 40 sentimeter.

    Abdul Muhari berkata banjir di Tulang Bawang, Lampung yang berpunca daripada limpahan sungai, menjejaskan 379 keluarga, menenggelamkan 470 hektar sawah padi dan menjejaskan tiga sekolah. – Bernama

    Pasukan penyelamat, termasuk tentera, polis dan sukarelawan berusaha mencari mangsa tanah runtuh di Kampung Kasimpar, Jawa Tengah pada 22 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda