Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Lima orang murid Taman Asuhan 3 Sekolah Antarabangsa Miftah An-Nur Islamic telah diraikan pada Majlis Tamat Pengajian dan Konsert Tahunan yang berlangsung di sekolah berkenaan di Kampung Manggis, hari ini.
Turut menerima sijil pada majlis itu ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Za’eem.
Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir yang turut menyertai persembahan.
Terdahulu sebelum penyampaian sijil, konsert tahunan diadakan dengan menampilkan murid-murid sekolah tersebut yang membuat persembahan mengikut kelas masing-masing.
YAM Pengiran Anak Muhammad Za’eem turut menyertai persembahan bagi murid Taman Asuhan 3 dengan persembahan ‘Going to Masjid’ manakala itu, YAM Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir menyertai persembahan bertajuk ‘Alwan’ bagi murid Taman Asuhan 2.
Sekolah tersebut memperkenalkan program pendidikan awal kanak-kanak yang berdasarkan konsep Isma Asma Al-Husna.
Bermula September ini, sekolah itu bukan sahaja menumpukan pendidikan di taman asuhan saja malah akan menawarkan pendidikan rendah Tahun 1 dan 2.

