Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Lima orang pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berlepas ke Sabah, Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-46 yang diadakan bermula hari ini sehingga 30 September di Hotel Sutera Pasifik, Kota Kinabalu, Sabah.
Hadir mengucapkan selamat berlayar kepada rombongan mewakili Negara Brunei Darussalam itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan para pegawai kanan KHEU.
Wakil negara diketuai oleh Setiausaha Tetap KHEU selaku ketua SOM MABIMS Negara Brunei Darussalam, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Mesyuarat kali ke-46 itu bertemakan ‘Keluarga MABIMS Tunjang Kesejahteraan Ummah di mana Brunei akan membentangkan kertas tema dan laporan-laporan bidang kerjasama strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025 di samping bertukar-tukar pandanganbagi mempertingkatkan lagi perancangan dan penyelenggaraan fokus strategik di peringkat MABIMS.


