TEGUCIGALPA, 25 JUN – Polis tentera Honduras melepaskan tembakan pada pelajar yang membantah di sebuah universiti semalam, mencederakan sekurang-kurangnya lima orang, kata pegawai kampus dan hospital.
Beratus pelajar di Universiti Autonomi Nasional Honduras menuntut peletakan presiden negara Juan Orlando Hernandez, selepas tunjuk perasaan ke atas beliau bertambah sengit pada minggu lalu apabila tiga orang terbunuh dalam bantahan.
“Kira-kira 40 polis tentera memasuki kampus universiti tanpa kebenaran,” beritahu Armando Sarmiento, pengarah pembangunan institusi di universiti Tegucigalpa, kepada AFP.
“Mereka mengejar pelajar dan menembak mereka dengan peluru hidup,” kata Sarmiento.
Lima pelajar cedera akibat luka tembakan, namun kesemua mereka berada dalam keadaan selamat, kata Laura Schoenherr, jurucakap Hospital Escuela.
FUSINA, pasukan keselamatan negara, berkata dalam satu kenyataan bahawa pelajar telah menyerang mereka ‘dengan bom botol yang diubahsuai yang boleh membawa maut.’
Empat ‘pelajar’ mengalami kecederaan, tambah FUSINA, selain dua tentera yang terbakar akibat bom botol.
Polis pada mulanya menembak gas pemedih mata, mendorong pelajar melontar batu, di mana polis rusuhan mengejar pelajar dan melepaskan tembakan dengan senapang. – AFP
