Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Lima pelajar Brunei berpeluang untuk melanjutkan pengajian mereka di Kanada apabila dianugerahkan biasiswa di bawah program Canada-ASEAN Scholarships and Educational Exchanges for Development (SEED) bagi sesi akademik 2025-2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan bahawa pelajar-pelajar berkenaan ialah Syakirah binti Haji Serudin, Zu Mirratin Munira binti Haji Mohammad Affno, Fatin Nabihah binti Hairin, Nur Hannani binti Haji Misli dari Universiti Teknologi Brunei serta Nurul Ashifah binti Shafie dari Universiti Brunei Darussalam.
Pelajar-pelajar berkenaan akan menjalani pengajian selama satu semester di Kanada pada musim luruh 2025 di mana Syarikah akan berada di Kwantien Polytechnic, Nurul Ashifah di Université du Québec à Chicoutimi, Zu Mirratin Munira di Memorial University of Newfoundland sementara Fatin Nabihah dan Nur Hannani di Laurentian University.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie berkata bahawa pelajar-pelajar dari universiti-universiti Brunei telah menunjukkan minat mereka terhadap Kanada sejak program SEED diperkenalkan di Brunei pada 2022.
Beliau mengharapkan yang terbaik dalam pengajian mereka serta berharap mereka akan meluangkan masa untuk meneroka semua yang ditawarkan oleh Kanada semasa berada di sana nanti.
Nur Hannani dipetik menyatakan bahawa beliau amat menghargai peluang yang diberikan untuk belajar di Kanada kerana dapat mengalami keindahan landskap, salji dan persekitaran baharu untuk belajar dan yanga mana hanya disaksikan melalui skrin sebelum ini.
“Saya tidak sabar untuk melangkah ke pengalaman yang sama sekali berbeza dari segi akademik, budaya dan kehidupan seharian.”
Sementara itu, Fatin Nabilah yang akan mengikuti program Pengajian Seni Bina di Universiti Laurentian pada musim luruh nanti berkata, “Saya berasa amat teruja dan berbesar hati untuk mewakili UTB dan saya tidak akan dapat melakukannya tanpa sokongan universiti, keluarga saya dan bimbingan Allah SWT. Saya berharap dapat menimba pengalaman dan ilmu baru yang boleh saya bawa semula dan menyumbang kepada Negara Brunei Darussalam.”
Sejak 2022, seramai 29 pelajar dari universiti-universiti Brunei telah menerima biasiswa berkenaan yang dibiayai oleh Kerajaan Kanada di bawah Strategi Indo-Pasifik, yang meliputi tambang penerbangan pergi balik, yuran visa dan tuisyen serta penginapan.
