Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 pelajar negara raih anugerah STEM Belia APEC 2025

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Lima pelajar dari Negara Brunei Darussalam berjaya untuk menerima anugerah semasa Persidangan STEM Belia APEC 2025 yang berlangsung di Korea Science Academy of KAIST (KSA), Busan dan Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST), Daejeon, Republik Korea pada 6 hingga 9 Ogos.

    Kesemua pelajar membentangkan hasil penyelidikan secara berkumpulan yang terdiri daripada dua hingga tiga pelajar daripada ekonomi APEC lain, di hadapan pakar serantau, pendidik dan rakan sebaya.

    Dayang Lee Jing Jing dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) bersama kumpulannya di bawah seliaan Dr Jong Anh Chun dari APEC Climate Centre, Republik Korea, telah memenangi anugerah teratas bagi Award for Future STEM Leader menerusi kajian Data-Driven Framework for Evaluating and Sustaining Mangrove Coastal Defense Systems.

    Dayang Thian Siao Fen @ Samantha dari Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) bersama kumpulannya di bawah seliaan Professor Safira Candra Asih dari Universiti Indonesia, telah menerima Award for APEC Innovation bagi kajian Natural Coagulants from Pitahaya and Plátano for Turbidity and Ionic Contaminant Reduction in Water Treatment.

    Dayang Teo Kai Lun dari PTET, bersama kumpulannya di bawah bimbingan Professor Po-Tsang Lee dari National Taiwan Ocean University (NTOU), telah meraih Anugerah APEC Connectivity menerusi kajian bertajuk The Impact of Eco-Friendly Feed on Fish Digestive Efficiency and Physiological Metabolism.

    Awang Mohamed Nabil bin Mohamed Hairol dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, bersama kumpulannya, turut memenangi Anugerah APEC Connectivity melalui kajian bertajuk Fighting Natural Disasters – Improving and investigating the Effectiveness of Flood Early Warning Systems with AI and Reducing the Areas of Impact.

    Sementara itu, Dayang Nursyamimi binti Nur Azme dari Pusat Tingkatan Enam Belait, bersama kumpulannya, juga berjaya meraih Anugerah APEC Connectivity menerusi kajian bertajuk Mapping Heat-Sensitive Zooxanthellae to Predict Coral Bleaching Risk in the Andaman Sea and the Gulf of Thailand. Kedua-dua kumpulan terakhir tersebut dibimbing oleh Professor Neil Sahota dari California University.

    Kelima-lima pelajar berkenaan merupakan antara 26 peserta belia dari 11 ekonomi APEC yang terpilih oleh pihak penganjur untuk menghadiri persidangan berprestij itu. Pemilihan dibuat melalui proses penilaian yang teliti dan kompetitif berdasarkan penglibatan mereka dalam The 16th APEC Cross Mentoring Research Activity (CMRA) yang telah dijalankan secara dalam talian bermula Januari 2025.

    Dengan mengetengahkan tema, Youth-led STEM Solutions: Strengthening Climate Resilience for a Prosperous and Connected APEC,  persidangan itu bertujuan untuk memupuk kepimpinan STEM masa hadapan dan menggalakkan kerjasama rentas sempadan dalam kalangan belia APEC.

    Persidangan STEM Belia APEC 2025 dianjurkan oleh APEC Mentoring Center for the Gifted in Science (AMGS), Ministry of Science and ICT (MSIT), Republik Korea selaku tuan rumah, dengan sokongan Gyeongsangnam-do Provincial Government, Kyungnam University, Korea Foundation for Science and Creativity, National Research Foundation of Korea, Korea Science Academy of KAIST (KSA) dan APEC.

    Penyertaan lima orang pelajar berkenaan ke persidangan itu, telah diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

    Gambar ramai pelajar yang berjaya menerima anugerah berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda