Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Delegasi terdiri daripada lima pelajar Tahun 13 bersama seorang guru mewakili Negara Brunei Darussalam bakal menghadiri 2025 APEC Youth STEM Conference yang akan berlangsung di Korea Science Academy of KAIST (KSA), Busan dan Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST), Daejeon, Republik Korea pada 6 hingga 9 Ogos.
Penyertaan rombongan berkenaan telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas.
Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Awang Mohamed Nabil bin Mohamed Hairol dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Dayang Lee Jing Jing dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Dayang Thian Siao Fen @ Samantha dan Dayang Teo Kai Lun dari Pusat Tingkatan Enam Tutong serta Dayang Nursyamimi binti Nur Azme dari Pusat Tingkatan Enam Belait.
Para pelajar akan diiringi oleh Cikgu Dayang Siti Akmar Addurunnafis binti Awang Taib dari Pusat Tingkatan Enam Tutong yang turut menyertai sebagai peserta dan chaperone.
Sehubungan dengan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pemangku Ketua EDGE, Hajah Nor Amy Hamimah binti Haji Matamit.
Turut hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat berlepas kepada delegasi berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, wakil-wakil dari sekolah yang terlibat serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.
Lima orang pelajar berkenaan telah dipilih oleh pihak penganjur melalui proses penilaian yang teliti dan kompetitif, berdasarkan daripada penyertaan mereka dalam acara The 16th APEC Cross Mentoring Research Activity (CMRA) yang telah dikendalikan secara dalam talian bermula pada Januari lalu.
Para pelajar telah dijemput untuk menyertai persidangan berkenaan bersama 21 orang peserta belia dari 11 ahli pertubuhan Asia Pasific Economic Cooperation (APEC).
Dengan membawa tema Youth-led STEM Solutions: Strengthening Climate Resilience for a Prosperous and Connected APEC, persidangan tersebut merupakan inisiatif utama untuk memupuk kepimpinan STEM masa hadapan dan menggalakkan kerjasama rentas sempadan dalam kalangan belia APEC.
Semasa persidangan berkenaan, para pelajar peserta akan membentangkan hasil penyelidikan mereka kepada pakar serantau, pendidik dan rakan sebaya. Sepanjang program itu, mereka juga akan menyertai pelbagai aktiviti lain termasuk Youth Mentor Networking, Busan Cultural Experience dan Daejeon Cultural Experience.
Selain itu, mereka akan mendapat pendedahan terhadap kemajuan sains dan teknologi di Korea melalui lawatan ke institusi seperti Korea Electrotechnology Research Institute (KERI), Doosan Enerbility dan KAIST.
Guru peserta juga akan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti pembangunan profesional, termasuk pembentangan amalan terbaik oleh pakar ekonomi, pembentangan hasil penyelidikan, sesi panel dan turut serta dalam lawatan ke KAIST.
The 2025 APEC Youth STEM Conference merupakan anjuran APEC Mentoring Center for the Gifted in Science (AMGS), Ministry of Science and ICT (MSIT), Republik Korea selaku Tuan Rumah serta disokong oleh Gyeongsangnam-do Provincial Government, Kyungnam University, Korea Foundation for Science and Creativity, National Research Foundation of Korea, Korea Science Academy of KAIST (KSA) dan APEC.




