Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 pelajar SMB sertai SSSC

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), telah menyelaras penyertaan lima orang pelajar dari Sekolah Menengah Berakas (SMB) dan seorang guru pengawas untuk menyertai SEAMEO-Singapore Students Challenge (SSSC). Pertandingan bermula pada hari ini hingga 8 Julai nanti di Singapura dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura dengan kerjasama Pusat Sains Singapura dan Sekretariat Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAME0).

    Pertandingan tersebut disertai oleh pelajar cemerlang daripada negara-negara SEAMEO di peringkat menengah bertemakan Sustainable and Resilient Communities dan mengandungi dua peringkat iaitu bengkel secara maya dan cabaran secara bersemuka.

    Negara Brunei Darussalam diwakili oleh pelajar-pelajar Tahun 9 SMB yang terdiri daripada Awang Muhaiminul Izzan bin Zul Hisham, Awang Muhammad Iman Danial bin Haji Awang, Awang Syahmi Ar-Rasyad bin Haji Mohammad Raihan, Dayang Ashifa Dhabitah binti Haji Noordawani dan Dayang Nurul Sheilawati Ataillah binti Emran @ Sheila Vatsaloo.

    Turut serta selaku mentor dan guru pengawas ialah Dayang Nurul Faizah binti Ya’akub dari sekolah yang sama dan pegawai dari EDGE, Dayang Rozi-Suzanah binti Yatab.

    Semasa program tersebut, para pelajar akan berpeluang untuk membentangkan kertas cadangan mereka mengenai prototaip atau produk reka bentuk kepada panel juri.

    Pasukan SMB akan membentangkan kertas cadangan projek mereka yang bertajuk Evaporative Cooling Suit.

    Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk menyertai aktiviti interaktif, pertandingan dan lawatan ke sekolah dan tempat-tempat menarik di Singapura.

    Antara tujuan program diadakan adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar dari negara-negara SEAMEO dalam penyelesaian masalah dan diharap pelajar akan dapat memperolehi perspektif global dan kemahiran silang budaya.

    Wakil dari SMB bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda