Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 pelajar terima biasiswa pendidikan ke Singapura

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Lima pelajar telah dianugerahkan biasiswa yang mana mereka hadir ke Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penganugerahan Biasiswa bagi Skim Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura Tahun Pengajian 2026 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil penganugerahan kepada penerima-penerima biasiswa ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

    Turut hadir ialah para setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap (Pengajian Tinggi), pengarah, pegawai dari Kementerian Pendidikan, pemimpin sekolah serta para ibu bapa dan penjaga penerima biasiswa.

    Majlis menyaksikan penyampaian ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim dan diikuti dengan penandatanganan perjanjian bagi penerima-penerima anugerah biasiswa berkenaan.

    Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Dayang Rosimah Sumaimah dan bagi pihak kerajaan Republik Singapura ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon.

    Sementara itu, para penerima biasiswa telah menandatangani perjanjian berkenaan bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga pelajar atau ahli keluarga terdekat.

    Para penerima biasiswa berkenaan ialah Tan Yye Yang dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dan akan menuntut di Ngee Ann Secondary School, Singapore; Aaron Arrasyideen bin Mohammad Raymie dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan akan menuntut di Temasek Secondary School, Singapore; Muhammad Rayyan Khan bin Umar Ali dari Sekolah Al-Falaah Sungai Akar dan akan menuntut di Temasek Secondary School, Singapore; Muhammad Ali Akmal Zafran bin Muhammad Ali Izwan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan akan menuntut di Ngee Ann Secondary School, Singapore serta Pang Zen Yi dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dan akan menuntut di Ngee Ann Secondary School, Singapore.

    Sesi begambar ramai dengan penerima biasiswa bersama tetamu kehormat. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda