Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Lima pelajar Sarjana Muda Sains (BSc) Multimedia Kreatif dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, menerima anugerah atas sumbangan cemerlang dalam mempromosikan kesedaran keselamatan siber melalui kandungan video kreatif.
Anugerah tersebut diberikan oleh Cyber Security Brunei (CSB), melalui Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) itu berlangsung di Ibu Pejabat CSB.
Penerima anugerah tersebut ialah Awang Muhammad Zakwan bin Haji Zunaidi, Dayang Fatin Farida binti Haji Asri, Dayang Ameerah ‘Aisyah binti Haji Edham, Dayang Nur Nadiah Syazwani binti Shamsuddin dan Awang Muhammad Hasbol Wafi bin Sertini.

– GAMBAR SERAHAN CSB
Mereka telah menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan pada majlis penyampaian anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Maklumat di CSB, Awang Azman Iskandar bin Ariffin.
Video mereka menampilkan topik-topik utama keselamatan siber seperti tabiat teknologi yang sihat, keselamatan kata laluan dan bahaya pengesanan dalam talian serta video pemenang pertandingan akan disiarkan di televisyen nasional dan dikongsi di platform media sosial rasmi BruCERT untuk mempromosikan amalan dalam talian yang lebih selamat kepada orang ramai.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara UTB dan BruCERT, di mana pelajar menghasilkan video bertemakan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada tugasan mereka sepanjang pengajian.
Pertandingan tahunan ini antara lain bertujuan untuk memupuk pemikiran kreatif dalam kalangan belia dan memperkasa menjadi duta bagi amalan dalam talian yang lebih selamat.