Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Lima orang pelajar tempatan akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan robotik antarabangsa berprestij, FIRST Global Challenge, yang dijadual berlangsung di Athens, Greece dari 26 hingga 29 September ini.
Wakil-wakil negara ke pertandingan berkenaan terdiri daripada tiga orang pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Awang Mohd Danish Qusyairy bin Jafar Ali, Awang Muhd Aqil Muayyad bin Budiman dan Awang Muhd Izzan Najdi bin Sahari; serta dua orang pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Luqman Hakeem bin Mohd Zulkifli dan Awang Mohd Faid bin Supian.
Sebelum ini, para peserta berkenaan telah mengambil bahagian dalam Robotic Coding Conquest menerusi REV Robotic Innovation Challenge, yang baru-baru ini dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun (MYCE) 2024.
Turut mengiringi para pelajar berkenaan ialah Dr Sharina Yunus dari UTB selaku penyelia pasukan negara; dan dua orang mahasiswa Mekatronik tahun akhir UTB, Awang Muhammad Arif Hisyammuddin bin Zaidi dan Awang Muhammad Mahran bin Dr Haji Awang Makarimi, kedua-duanya selaku mentor rasmi FIRST Global.
Dalam pada itu, Dr Sharina menyatakan pertandingan ini bukan hanya tentang robotik, ia juga memupuk semangat kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritis. Beliau juga yakin pasukan negara mampu mengharumkan nama di pentas global tersebut.
FIRST Global Challenge merupakan sebuah acara tahunan yang menghimpunkan golongan pelajar peringkat sekolah menengah dari lebih 190 buah negara untuk menyertai pertandingan robotik yang memberi tumpuan kepada menangani cabaran global melalui Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Tema pertandingan pada tahun ini ialah Feeding the Future, iaitu mencabar para pasukan untuk mereka bentuk dan membina robot yang menangani pengeluaran dan pengedaran makanan yang mampan.
Melalui pertandingan berkenaan, ia bertujuan untuk memajukan pendidikan STEM dan menawarkan golongan pelajar peluang unik untuk pertukaran budaya global dan penyelesaian masalah secara kolaboratif.