Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Lima orang pelanggan bertuah Bank Baiduri telah membawa pulang wang tunai $1,000 setiap seorang selaku pemenang cabutan bulanan pertama kempen A Saving Habit That Rewards pada majlis penyampaian yang berlangsung di ibu pejabat bank tersebut, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, dari 1 April hingga akhir September depan, semua pemegang akaun deposit Bank Baiduri dan Baiduri Finance yang baharu dan sedia ada berpeluang memenangi hadiah dalam cabutan bulanan dan utama bagi setiap kenaikan $500 dalam jumlah purata baki harian mereka dari bulan asas pada Mac 2023.
Pemenang bagi cabutan bulanan pertama ialah Ang Gah Lei, Chiu Ching Hoi, Yong Mei Chit, Lim Lam Seng, dan Yong Teck Chin.
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Pengurusan Harta, Bahagian Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Brian Wong.
Brian Wong berkata, pihak bank begitu gembira menyaksikan para pelanggan berusaha untuk mengembangkan simpanan mereka.
“Di Bank Baiduri, ia merupakan salah satu matlamat utama kami untuk memperkasakan pelanggan bagi mengawal masa depan kewangan mereka, di samping mempromosikan budaya menabung melalui kempen seperti ini dan bengkel pendidikan,” jelas beliau.
Salah seorang pemenang, Yong Mei Chit merakamkan penghargaan terima kasih atas peluang berkenaan, yang memberikan ganjaran hanya dengan menabung dan pastinya ia membuktikan masih belum terlambat untuk mula mengambil langkah tersebut.
“Bagi saya, tabiat menabung adalah penting untuk mencapai matlamat kewangan peribadi,” ujarnya.
Cabutan utama akan berlangsung pada penghujung tempoh promosi di mana tiga orang pemenang masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai $50,000, $20,000 dan $10,000.






