KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Lima rakyat Malaysia cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua bas pelancong di Lebuhraya Chuo di Hachioji, barat Tokyo pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapi situasi berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengesahkan bahawa lima warga Malaysia berada di dalam kedua-dua bas itu.
“Kesemua mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan. Setelah menerima rawatan dan pemeriksaan di hospital, mereka telah dibawa pulang ke hotel mereka,” menurut Kementerian Luar.
Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menyatakan bahawa insiden itu berlaku kira-kira 10:15 pagi berhampiran pintu masuk Terowong Kobotoke.
Kemalangan itu membabitkan dua bas yang membawa 47 penumpang, kebanyakannya warga asing yang dalam perjalanan bersama dari Stesen JR Tokyo menuju ke Tasik Kawaguchi di Wilayah Yamanashi.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah bas melanggar bahagian belakang bas di hadapannya. – Bernama