Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Antara Disember 2022 hingga Mac 2023, lima buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda di Mahkamah Majistret kerana gagal mematuhi Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, syarikat-syarikat berkenaan telah gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tiap-tiap tahun kewangan yang berkenaan.
Dua buah syarikat masing-masing telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Sebuah syarikat telah dikenakan denda sebanyak $4,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Sebuah syarikat pula telah dikenakan denda sebanyak $3,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada dan 31 Disember 2018, 2019 dan 2020 manakala itu, sebuah syarikat lagi telah dikenakan denda sebanyak $2,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2020.
Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengingatkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.
Jika sabit bersalah kerana gagal menghadapkannya, di samping dikehendaki untuk membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah, syarikat terbabit juga dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan yang tertunggak dan membayar cukai pendapatan yang tertunggak serta penalti yang dikenakan iaitu maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang tertunggak.