Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Lima pemenang bagi kategori-kategori yang dicalonkan dalam Anugerah Brunei Rice Bowl Startup (BRBSA) menerima hadiah mereka pada Majlis Penyampaian BRBSA yang berlangsung di Townhall, Ibu Pejabat Progresif, di sini, hari ini.
Anugerah bagi setiap kategori disampaikan oleh wakil Darussalam Enterprise (DARe), Pengiran Zainul Asri bin Pengiran Abdul Razak, Mark Chieng dari Startup Brunei, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dari Startup Hub, Ketua Pembangunan Produk Progresif, Radi El-Fassed dan Pengarah Projek ARBSA, Rubi-Ain Dahlan (Malaysia).
Turut hadir di majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Taylor.
Kategori yang dicalonkan adalah Startup Terbaik Tahunan, Pengasas Terbaik Tahunan, Pendatang Baru Terbaik, Impak Sosial Startup Terbaik dan Startup e-dagangan/Rangkaian Bekalan Terbaik.
Pemenang bagi Kategori Startup Terbaik Tahunan ialah Agrome IQ International Sdn Bhd manakala itu, Vanessa Teo diumumkan sebagai pemenang bagi Kategori Pengasas Terbaik Tahunan dan Headhunter Sport memenangi kategori Pendatang Baru Terbaik.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P10-1B_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P10-1A_041117.jpg)
Kategori Impak Sosial Startup Terbaik dan Startup e-dagang/Rangkaian Bekalan Terbaik pula masing-masing dimenangi oleh Al-Huffaz Management dan Buycour Brunei.
Anugerah yang merupakan tanda kecemerlangan dan menampilkan perusahaan-perusahaan baru yang memberikan tanda aras, inspirasi dan menjadi contoh kepada yang lain itu dibahagikan kepada tiga pusingan iaitu peringkat kebangsaan, serantau dan peringkat dunia.
Pemenang ARBSA Serantau ini akan mewakili Asia Tenggara ke peringkat akhir iaitu Anugerah Global Startup 2018.
Anugerah berkenaan dianjurkan oleh New Entrepreneurs Foundation (Malaysia) bagi meraikan semangat inovasi dan keusahawanan dalam ekosistem startup.
Antara tujuannya ini adalah untuk memberi teladan dan inspirasi kepada rangkaian komuniti bagi siri usahawan, pembuat dasar dan mentor mengenai agenda keusahawanan teknologi inovasi digital.
Ini merupakan tahun pertama ARBSA menerima calon-calon dan wakil dari 10 negara ASEAN termasuk Brunei.