ROM, 31 OGOS – Sebuah kereta api yang tidak dalam perkhidmatan dengan laju merempuh sekumpulan pekerja yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan landasan pada waktu malam di utara Itali pada hari ini, menyebabkan lima daripada mereka terkorban, kata pihak berkuasa.
Nahas berlaku sejurus selepas tengah malam di sebuah stesen di Brandizzo, sebuah bandar di wilayah Piedmont, Itali. Gabenor Piedmont, Alberto Cirio mengumumkan angka kematian dan berkata punca kemalangan itu sedang disiasat.
Datuk Bandar Brandizzo, Paolo Bodoni berkata terdapat tanda-tanda bahawa kru kereta api itu tidak menyedari terdapat pekerja di landasan, lapor La Stampa, akhbar di bandar utama Piedmont, Turin.
Radio negeri pada mulanya berkata pihak berkuasa menganggarkan kereta api itu bergerak pada kelajuan kira-kira 160 kilometer sejam. Tetapi siasatan awal oleh polis kereta api kemudian menurunkan anggaran kelajuan kepada kira-kira 100 kilometer sejam, kata akhbar Corriere della Sera.
Kereta api itu terdiri daripada sebuah gerabak enjin dan 11 gerabak penumpang kosong yang sedang diangkutnya, kata Corriere della Sera.
“Pastinya terdapat kesilapan manusia,’’ kata Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Matteo Salvini.
“Maklumat pertama yang sampai kepada saya merujuk kepada kekurangan komunikasi antara pasukan penyelenggaraan dan pihak yang sepatutnya memberi isyarat laluan kereta api, tetapi kita perlu lihat apa yang sebenarnya berlaku,’’ Bodoni dipetik sebagai berkata.
Dua pekerja yang sempat mengelak daripada dilanggar sedang dirawat di sebuah hospital kerana terkejut, kata La Stampa.
Pelbagai kesatuan sekerja yang mewakili pekerja penyelenggaraan kereta api berikrar untuk mengadakan mogok sebagai protes terhadap nahas itu dan bagi memperingati mangsa-mangsa, kata media Itali. – AP