Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 tip baiki pelindung kulit

    Mengalami kulit yang tidak sihat pasti akan merosakkan hari awda dan membuatkan diri awda tidak berkeyakinan.

    Justeru adalah penting untuk mempelajari tentang penjagaan kulit. Kesihatan kulit yang baik adalah apabila pelindung kulit (skin barrier) itu kuat.

    Gejala kulit yang sering merah dan gatal dialami oleh kebanyakan orang terjadi akibat penggunaan bahan aktif yang berlebihan, atau mungkin ia adalah peralihan kepada pendekatan yang lebih intuitif kepada rutin penjagaan kulit.

    Pelindung kulit merujuk kepada lapisan kulit paling luar, juga dipanggil stratum korneum.

    Ia adalah lapisan pertahanan pertama yang memberikan perlindungan kepada lapisan kulit awda yang lebih dalam.

    Gambar Eh.my
    Gambar Envato

    Diperbuat daripada protein dan lipid, pelindung kulit juga melindungi badan awda daripada radikal bebas, bahan pencemar, dan faktor persekitaran yang tidak menyenangkan.

    Apabila ia sihat, kulit kelihatan berseri. Apabila ia terjejas, ia akan membawa kepada pelbagai masalah seperti jerawat, kegatalan dan kekeringan kronik.

    Awda juga mungkin perasan kulit terasa pedih, terbakar, atau lebih sensitif apabila menggunakan produk.

    Tanda-tanda seumpama itu mungkin menunjukkan pelindung kulit awda perlukan pertolongan.

    Ruangan ini akan mengongsikan lima tip bagi membantu awda menyelamatkan pelindung kulit agar lebih berkeyakinan dengan diri sendiri.

    1. KURANGKAN PENGELUPASAN KULIT

    Pengelupasan (exfoliate) terkenal dengan membersihkan kulit secara lebih dalam akan tetapi tahukah awda ia akan merosakkan pelindung kulit jika kita melakukannya dengan kerap.

    Menggosok terlalu kuat dan terlalu kerap adalah sebab mengapa ia terjadi.

    Perkara sama berlaku untuk pengelupasan kimia seperti AHA dan BHA yang membantu dengan pembaharuan kulit dan perolehan sel, tetapi sebenarnya ia tidak elok untuk kegunaan harian dan sama sekali tidak boleh digabungkan dengan bahan yang aktif seperti retinol.

    2. CARI PENCUCI MUKA SESUAI KULIT

    Awda pasti merasa bingung dan sukar untuk mencari pencuci muka bagi kulit awda kerana tidak pasti sama ada sesuai ataupun tidak.

    Mantel asid halus kulit awda berlegar di sekitar pH 4.7. Tetapi pH sesetengah produk kulit boleh berkisar antara 3.7 hingga 8.2. Penyelidik mencadangkan pembersihan dengan produk yang mempunyai pH antara 4.0 dan 5.0. Dengan mengekalkan pH kulit awda pada tahap yang sihat boleh membantu melindungi daripada keadaan kulit seperti dermatitis, ichthyosis, jerawat dan jangkitan Candida albicans. Tidak semua jenama menyenaraikan pH pada produk mereka, jadi mungkin ia lebih baik jika awda membuat kajian dahulu tentang produk itu sebelum membeli.

    3. SENTIASA HIDRAT

    Kulit kering terjadi kerana awda gagal melindungi kulit daripada kehilangan air.

    Pendedahan UV yang berlebihan boleh membahayakan dengan mengeringkan kulit.

    Menggunakan produk yang menghidratkan boleh membantu mengekalkan kandungan air yang optimum dalam kulit dan memastikan pelindung kulit awda berfungsi dengan cara yang sepatutnya.

    Kandungan yang awda perlu tahu berfungsi untuk penghidratan ialah asid hyaluronic, panthenol atau vitamin B5, glycerine, propylene glycol, dan butylene glycol. Selain mencari produk yang mengandungi air, awda juga digalakkan untuk minum air secukupnya agar kulit sihat dari dalam.

    4. GUNAKAN PELINDUNG CAHAYA MATAHARI

    Penulis, Erdina Hairi, yakin semua orang mempelajari pelindung cahaya matahari sangat penting untuk kulit, di mana ia melindungi kulit awda dengan menghalang sinaran UVA, UVB, dan cahaya biru matahari daripada diserap oleh kulit. Sinaran UVA membentuk 95 peratus daripada sinaran matahari. Ia menembusi secara mendalam melalui dua lapisan atas kulit, menyebabkan tanda-tanda penuaan yang boleh dilihat. Sinaran UVB hanya membentuk kira-kira lima peratus daripada sinaran yang dipancarkan oleh matahari, tetapi meletakkan awda pada risiko yang lebih besar untuk mendapat kanser kulit kerana sinaran UVB merosakkan DNA sel kulit. Jadi jangan pandang ringan tentang pelindung cahaya matahari, di samping menggunakannya dengan betul dan sentiasa memakai semula selepas dua atau tiga jam.

    5. UTAMAKAN GAYA HIDUP SEIMBANG

    Penjagaan kecantikan kulit adalah kunci rutin bagi kulit awda, tetapi apa yang berlaku secara dalaman juga akan menimbulkan kesan pada kulit awda, jadi menjalani gaya hidup sihat juga adalah kunci untuk menyembuhkan dan menghalang masalah yang akan hadir ke atas kulit awda.

    Pastikan awda makan diet yang sihat, seimbang, dengan banyak makanan yang diperkaya dengan lemak sihat, seperti kacang, buah-buahan dan ikan. Selain itu, awda juga disarankan supaya mengambil suplemen minyak omega berkualiti tinggi setiap hari, agar awda akan melihat perbezaan besar dalam daya tahan kulit dan kesihatan secara keseluruhan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda