BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi hukuman penjara terhadap tiga wanita dan dua lelaki warga Indonesia atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Nikmah, 52, dijatuhi hukuman empat bulan penjara selepas mengaku bersalah memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.
Pasport defendan didapati tidak mempunyai cop ketibaan ke negara ini meskipun defendan mendakwa memasuki negara ini pada 16 Mei 2017 melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh.
Sistem pangkalan data imigresen juga tidak mempunyai rekod kemasukan defendan pada tarikh tersebut.
Sementara Ubad, 47, dikenakan hukuman 11 bulan penjara dan tiga sebatan kerana tinggal selama 701 hari di negara ini selepas pas melawat yang dikeluarkan kepadanya pada 6 September 2015 mansuh pada 20 September 2015 dan tidak ada lanjutan tempoh dibuat selepas tarikh tersebut.
Eni Maryati, 52, pula dijatuhi hukuman 11 bulan penjara selepas mengaku bersalah tinggal selama 700 hari di negara ini setelah pas melawatnya mansuh pada 21 September 2015.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan yang memaklumkan mahkamah bahawa kesemua mereka diberkas sepasukan penguat kuasa imigresen di Jalan Ban 6, Mulaut.
Siska Widyawati, 26, dijatuhi enam bulan penjara kerana tinggal selama 389 hari di negara ini selepas pas kerjanya mansuh pada 28 Julai 2016.
Pegawai Pendakwa Imigresen, Roslina binti Sapar memaklumkan mahkamah bahawa defendan diberkas di Kampung Masin pada 22 Ogos 2017, yang mana siasatan turut mendapati yang defendan sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah dan dilaporkan melarikan diri dari majikannya.
Imam Zajuli, 43, pula dihukum 11 bulan penjara dan tiga sebatan atas kesalahan tinggal selama 873 hari di negara ini selepas pas imigresennya mansuh pada 2 April 2015.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman terhadap kesemua defendan berkuat kuasa, hari ini.