Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 warga Iran disyaki terbabit kes pukau miliki kepakaran curi wang pelancong – Polis

    KEPALA BATAS, 4 OGOS – Lima warga Iran yang ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing di sekitar pusat bandar George Town, dipercayai anggota sindiket yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam mencuri wang.

    Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya, modus operandi sindiket itu ialah bergerak secara berkumpulan dan masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.

    “Pihak polis sedang menyemak pergerakan keluar masuk dan ketulenan pasport lima warga asing itu dengan Jabatan Imigresen.

    “Mereka tiba di Kuala Lumpur sebelum datang ke Pulau Pinang menaiki kereta sewa pada 27 Julai lepas serta menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah bagi Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

    Beliau berkata pihaknya percaya sindiket itu aktif melakukan jenayah curi sejak tiba di negeri ini, namun tiada laporan polis diterima daripada mangsa berkemungkinan kerugian dialami adalah kecil.

    Semalam media melaporkan polis menahan tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri berusia 19 hingga 35 tahun di sebuah pusat beli-belah di George Town menerusi Ops Tourist bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing yang dipercayai dipukau di sekitar pusat bandar. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda