Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Lebih 50 belia telah menghadiri Dialog Impak Edisi kelapan yang dihoskan oleh Young Professionals Network (YPN) Brunei bertempat di Mutiara Exchange baru-baru ini.
Dialog berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen promosi WEF ASEAN 2025 yang akan berlangsung pada Jun 2025 ini di Kuala Lumpur untuk meraikan peranan transformatif wanita dalam memacu pertumbuhan ekonomi global di bawah tema ‘Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy’.
Sebagai menyokong inisiatif WEF ASEAN 2025, YPN mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan wanita dalam membentuk pembangunan melalui sesi dialog dengan tema Daring Greatly to Shape the Future dengan harapan untuk membina keberanian dalam mengharungi rintangan.
Sesi dialog menampilkan ucaptama daripada Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr (H.C) Hajah Hartini binti Osman, seorang dermawan global yang memenangi anugerah yang diikuti dengan perbincangan forum terbuka yang disertai oleh Pengasas muBN Learning & Growth Company; Pengasas Bersama dan Pengerusi The Sisters Who Launch (SWL), Dr Hajah Mona Yati bte DSLJ Haji Mohd Kassim; dan Presiden, HR Society & penulis buku If I Knew Then What I Now Know, Hajah Zainab M.A.Omar. Manakala dialog berkenaan dikendalikan oleh Fadli M.Zaini, selaku moderator dari Convener & Core Team, YPN.
Siri dialog itu merupakan satu inisiatif oleh YPN yang bertujuan untuk mewujudkan ruang untuk dialog terbuka, jujur dan membina mengenai perkara yang berkaitan dengan kebolehpasaran, kepimpinan dan sumbangan untuk menyokong pembangunan peribadi dan profesional golongan muda untuk berjaya secara bermakna dan akhirnya memberi inspirasi kepada tindakan yang menyumbang kepada pembangunan.
Para peserta terdiri daripada belia, pelajar, profesional muda, pemimpin masyarakat, belia dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) dengan peserta yang paling ramai hadir dari Kolej Sains Kesihatan JPMC.
Sesi dialog dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Pengasas Bersama YPN, Fatin Arifin, yang menekankan perlunya keberanian untuk melonjak ke hadapan secara individu atau kolektif untuk membentuk Brunei yang makmur yang penuh dengan peluang seiring dengan tema Hari Kebangsaan ‘Bersatu Mencapai Cita Negara’.

Pada ucaptama, Datin Dr (H.C) Hajah Hartini berkongsi dengan penuh kebanggaan dan keterujaan hadir ke acara penting berkenaan untuk meraikan sumbangan luar biasa wanita yang membentuk semula dunia dan ekonomi.

“Forum ini adalah perayaan pencapaian kami dan seruan untuk bertindak, satu peringatan untuk terus menjadi tajuk utama, memacu inovasi dan memimpin dengan belas kasihan dan keberanian,” ujarnya.
Pada sesi dialog berkenaan, Hajah Zainab menggalakkan belia tidak berkecil hati dengan halangan kerana akan sentiasa ada cahaya di penghujung terowong. Dia menekankan tiada siapa boleh menentukan nasib melainkan diri sendiri kerana itu adalah kuasa peribadi seseorang.
Manakala Dr Hajah Mona berkongsi pandangannya tentang keberanian dengan melihat sesuatu dari perspektif positif dan mengambil diri daripada mengehadkan kepercayaan. Di antara nasihatnya adalah untuk mendekati sesuatu masalah dengan pemikiran One day or Day One.
Datin Dr Hartini yang berasal dari Malaysia turut berkongsi pandangannya mengenai topik berkenaan dengan menasihati belia Brunei untuk mendalami sesuatu yang mereka mahir dan komited untuk melakukan sesuatu dengan hebat serta menyelesaikan masalah atau cabaran dengan mencari punca dan mengatasinya dengan penuh semangat. Beliau juga turut mencabar golongan muda untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti sendiri


Dialog Impak diakhiri dengan sesi rangkaian yang menyaksikan para peserta terlibat dengan penceramah sambil menikmati jamuan.
