Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seramai 50 belia dari seluruh negara telah menyertai Bengkel Penghayatan MIB bagi Para Belia di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-20 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Asminan bin Haji Chuchu.
Bengkel setengah hari bertemakan MIB RELOADED: Belia Pewaris Jati Diri Negara itu bertujuan untuk memberikan kefahaman mendalam kepada para belia mengenai konsep dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) serta menanam rasa cinta dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Selain menggalakkan belia untuk mempraktikkan budaya Melayu, nilai-nilai Islam dan ketaatan kepada raja, bengkel berkenaan juga dihasratkan agar belia masjid dapat menjadi ejen penyampai kefahaman MIB dalam masyarakat.
Antara pengisian utama bengkel ialah perkongsian yang disampaikan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Haji Mohammad Rafee bin Haji Mohammad Shahif, dengan tajuk MIB: Akar Kita, Arah Kita.



Program turut menampilkan bengkel interaktif bertajuk Gaya Hidup Belia dengan Sentuhan MIB yang membuka ruang kepada peserta untuk menzahirkan pandangan mengenai penerapan nilai-nilai MIB dalam kehidupan seharian.
Sesi kemuncak pula berbentuk Talkshow Belia bertajuk MIB Next Gen: Aku Pewaris, Aku Pembawa yang mengetengahkan pandangan dua ahli akademik iaitu Penolong Profesor (MIB dan Dakwah), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abd Rahman dan Penolong Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohd Shahrul Azmi bin Haji Abdul Muluk.
Kedua-dua panel menyerlahkan peranan belia dalam memastikan kelestarian MIB terus subur dan relevan sepanjang zaman.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Asminan bin Haji Chuchu.
Melalui bengkel berkenaan, para belia dihasratkan kekal menjadi pewaris berjati diri, berakhlak mulia serta berdaya maju dengan berpaksikan falsafah MIB, seterusnya menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara selaras dengan wawasan kepimpinan Negara Brunei Darussalam.

