Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Sebanyak 281 buah kenderaan telah diperiksa dan 50 daripadanya dikeluarkan denda kompaun trafik semasa Operasi Sekatan Jalan Raya di kawasan jalan menuju ke Pantai Serasa, Daerah Brunei dan Muara yang dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Menurut PPDB, antara kesalahan-kesalahan yang didapati adalah memasang tabir dan pelekat filem plastik, ubahsuai kenderaan dan beberapa kesalahan lagi.
Operasi berkenaan melibatkan pegawai dan keanggotaan dari Balai Polis Muara, dengan dibantu oleh keanggotaan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei dan Muara serta diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Daerah Brunei dan Muara.
PPDB mengharapkan operasi seperti itu akan memberi kesedaran kepada para pengguna jalan raya akan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas serta mendidik para pemandu untuk sentiasa peka dengan kondisi kereta iaitu sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu.