Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Seramai 30 orang peserta lelaki dan 20 orang peserta Muslimah Majlis Perundingan Kampung Setia ‘A’ dan ‘B’, Takmir Masjid Perdana Wangsa Haji Mohd Kampung Setia, Kumpulan WhatApps Saudara Ku Kampung Setia serta penduduk kampung berkenaan malam tadi diraikan di Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohd Kampung Setia, baru-baru ini.
Majlis itu dianjurkan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Tahkta yang diselajurkan dengan Doa Kesyukuran.
Terdahulu majlis dimulai dengan sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah dan selepas itu majlis diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh imam masjid, Haji Hassan bin Haji Lusin.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dilaungkan beramai-ramai secara muratal mulai awal Surah Al-Baqarah sehingga Surah Al-Lahab, bacaan Takhtim dan bacaan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Awang Mohammad Ahmad Maahe bin Haji Samry.
Dikir Marhaban yang dibawakan oleh para peserta khatam Al-Quran dan penduduk kampung menyerikan lagi majlis penuh berkat itu yang disusuli dengan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan dibacakan oleh Haji Hassan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta lelaki yang disempurnakan oleh Ketua Kampung Setia ‘A’, Haji Asli bin Haji Mamut, manakala peserta Muslimah disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Setia ‘B’, Awang Shahminan bin Matzin.
Majlis Khatam Al-Quran melibatkan 50 orang peserta adalah sebagai mengambil tabaruk dari Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Tahkta yang memerintah negara penuh dengan pelbagai pembangunan dan kemajuan yang membawa kepada kehidupan rakyat yang aman sejahtera dan harmoni.
Majlis itu diungkayahkan sebagai tanda menjunjung tinggi kepimpinan seorang raja yang dikasihi dan berjiwa rakyat, berwibawa dan disanjung tinggi oleh semua rakyat dan penduduk di negara ini dan juga pemimpin dunia yang lain.