Wednesday, November 20, 2024
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 hadiri program pelajari persiapan tangani bencana

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 50 penuntut dan guru telah menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah (SBDRM) yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara.

    Program yang diadakan sejak 19 hingga 20 November berkenaa dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dengan kerjasama pihak Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.

    Peserta program berkenaan terdiri daripada penuntut dan guru dari Sekolah Rendah Saba Darat, Sekolah Rendah Sungai Siamas, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Sekolah Rendah Bendahara Lama, Sekolah Rendah Haji Tarif, Sekolah Rendah Pintu Malim dan Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun.

    Sehubungan dengan itu, majlis penutup dan penyampaian sijil bagi peserta program telah diadakan di Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil serta penghargaan kepada para peserta dan fasilitator program ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Di sepanjang program berkenaan, para penuntut dan guru berpeluang untuk mengetahui mengenai fungsi dan peranan NDMC di samping meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan mereka dalam mengenal pasti risiko serta membuat tindakan yang betul supaya sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kejadian bencana.

    Selain daripada itu, para pelajar juga berpeluang mengikuti latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Dont’s sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana, Nature Power, Penyediaan Grab Bag, Hazard Visit dan membentuk pelan tindakan dalam kesiapsiagaan warga sekolah bagi menghadapi bencana di peringkat sekolah.

    NDMC akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam menangani kejadian bencana di negara ini. Program SBDRM telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran bencana yang berkemungkinan berlaku.

    Dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diperoleh semasa program SBDRM, ia diharap akan dapat dijadikan sebagai panduan bagi mengurangkan impak bencana kepada warga sekolah di negara ini.

    Dayang Nor Hamidah menghadiri majlis penutup dan penyampaian sijil.
    Antara pembentangan oleh peserta dalam program berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara peserta yang menerima sijil.

    Dayang Nor Hamidah dan jemputan khas bergambar ramai bersama peserta serta fasilitator program berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda