GENEVA, 12 SEPT – Seramai 50 juta orang di seluruh dunia terperangkap dalam pekerjaan paksa atau perkahwinan paksa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, mengingatkan jumlah tersebut akan meningkat mendadak dalam beberapa tahun ini.
PBB telah menetapkan matlamat untuk membasmi semua bentuk perhambaan moden menjelang 2030, tetapi sebaliknya jumlah orang yang terbabit dalam pekerjaan atau perkahwinan paksa meningkat sebanyak 10 juta di antara 2016 dan 2021, menurut laporan baharu.
Kajian itu, dijalankan agensi pekerja dan penghijrahan PBB bersama Yayasan Walk Free, mendapati pada akhir tahun lalu, 28 juta orang terperangkap dalam pekerjaan paksa, sementara 22 juta hidup dalam perkahwinan paksa.
Ia bermakna hampir satu daripada setiap 150 orang di dunia terperangkap dalam perhambaan moden, menurut laporan.
“Adalah mengejutkan situasi perhambaan moden masih tidak bertambah baik,” kata Guy Ryder, ketua Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO) dalam satu kenyataan.
“Tidak ada apa-apa yang dapat menjustifikasikan penyalahgunaan hak asasi manusia ini.”
Ia merupakan masalah jangka panjang, laporan mengingatkan, dengan ramalan menunjukkan pemerangkapan dalam pekerjaan paksa boleh mengambil masa bertahun-tahun dan perkahwinan paksa selalunya ‘satu hukuman seumur hidup.’ Golongan wanita dan kanak-kanak adalah yang paling mudah terjejas. – AFP