Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 pegawai sertai Kursus Pengukuhan Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Seramai 50 orang pegawai kerajaan telah dicalonkan untuk menyertai Kursus Pengukuhan Islam mengenai Fiqh At Thaharah (kebersihan) yang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Menurut kenyataan PDI, kursus berkenaan merupakan rancangan tahunan Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah yang antara lain berobjektif untuk meningkatkan pengetahuan agama khususnya perkara-perkara yang berhubung kait dengan bab Thaharah (bersuci), menghalusi tatacara dalam wuduk, Tayammum dan mandi.

    Kursus diisikan dengan pengertian thaharah, qada hajat, bahagian air dan hukumnya, hadas, najis dan cara-cara wuduk, bersiwak, mandi tayamum dan istinjak.

    Sebahagian pegawai kerajaan semasa menjalani kursus yang berlangsung di PDI.
    Sebahagian pegawai kerajaan yang mengikuti kursus selama empat hari itu.

    Tenaga pengajar yang terlibat sepanjang kursus berkenaan terdiri daripada pegawai-pegawai PDI iaitu Haji Imaharan bin Haji Metali, Pengiran Hajah Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Dayang Siti Norilham Nizah Ayu binti Haji Mohd Zahari, Dayang Norwana binti Haji Emran.

    PDI berharap dengan adanya kursus berkenaan akan dapat memberi kefahaman, mengulang kaji pengetahuan yang ada dan meningkatkan lagi kefahaman sedia ada untuk dapat diamalkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda