LONDON, 26 MEI – British Airways (BA) hari ini mengemukakan permohonan maaf berikutan pembatalan penerbangan ke Eropah dan domestik ekoran masalah teknologi maklumat (IT), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Terdapat lebih 50 penerbangan yang berlepas dari Heathrow dibatalkan dan syarikat penerbangan itu meminta penumpang menyemak status penerbangan mereka sebelum pergi ke lapangan terbang.
Selain itu, terdapat lebih 20 penerbangan yang dijadual mendarat di Heathrow turut dibatalkan atau ditangguhkan.
“Kami menyedari isu teknikal yang telah timbul dan kami sedang berusaha untuk menyelesaikannya.
“Disebabkan jumlah panggilan yang tinggi, sila hubungi kami jika awda akan melakukan perjalanan dalam masa 48 jam akan datang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BA.
Kelewatan dan pembatalan dijangka berterusan sehingga Sabtu. – Bernama